Kuala Lumpur: Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (Minggu PKS) 2013 yang bermula semalam hingga 30 Jun ini turut mendapat penyertaan yang baik daripada pasar raya terkemuka tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, tahun ini kali kedua penganjuran Minggu PKS, dan pertama kali mendapat penyertaan daripada pasar raya di seluruh negara.
“Untuk penganjuran kali ini, kami mendapat penyertaan 408 pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara yang akan mempamerkan dan mempromosi produk PKS tempatan,” katanya.
Menurutnya, penyertaan daripada jenama besar dalam sektor peruncitan itu secara tidak langsung membuktikan sokongan diberikan kepada usahawan PKS tempatan.
“Ia juga menunjukkan produk dihasilkan PKS boleh bersaing dengan jenama luar negara yang sering menghiasi rak di pasar raya terkemuka,” katanya selepas pelancaran Minggu PKS 2013 di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hamim Samuri dan Pengerusi SME Corp Datuk Mohamed Al Amin Abdul Majid.
Menurutnya, dengan tema ‘Perniagaan Kecil, Idea Besar’, Minggu PKS 2013 yang dianjurkan turut meluaskan fokus kepada usahawan PKS di luar bandar.
“Kami tidak mahu meletakkan tumpuan kepada usahawan di bandar besar saja kerana kami percaya PKS di luar bandar juga memiliki potensi yang baik.
“Kerana itu, kami turut menjalankan Minggu PKS di semua negeri dengan pelancaran diadakan di daerah selain ibu negeri bagi memberi ruang kepada masyarakat di luar bandar khususnya usahawan mendapat manfaat daripada program yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Minggu PKS 2013 yang bermula semalam hingga 30 Jun ini antara lain dianjurkan bagi memupuk kesedaran terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PKS tempatan kepada orang awam dan turut memberi peluang kepada usahawan meluaskan jaringan perniagaan melalui sesi padanan perniagaan yang diatur.
No comments:
Post a Comment