Pages

Sunday, July 14, 2013

Semak samada anda spesis usahawan berjaya

Anda dah jemu makan gaji.

Keputusan dah dibuat dengan nekad yang anda akan letak jawatan dalam masa terdekat.

Anda tak kisah lagi apa akan berlaku selepas itu.

Yang pasti adalah, anda akan bertukar daripada seorang yang menyara hidup dengan makan gaji kepada seorang usahawan.

Jika anda seperti yang saya gambarkan di atas,NANTI DULU!.

Semak sebentar samada anda merupakan makhluk manusia daripada spesis usahawan berjaya dengan menjawab 6 soalan di bawah:

  1. Adakah anda jenis yang berdikari?. Anda seorang yang tidak menunggu arahan untuk menghabiskan kerja. Malah anda tidak perlu menunggu orang untuk memberikan anda kerja untuk dilakukan. Anda sendiri yang akan mencari dan melaksanakannya dan menghabiskan segala kerja yang telah dimulakan.
  2. Adakah anda punyai motivasi tinggi?. Anda akan cari kerja dan berusaha menghabiskannya dan mampu menaikkan semangat diri sendiri untuk terus melaksanakan kerja sehingga habis. Bukan setakat memberikan semangat pada diri sendiri, malah anda jenis yang mampu menaikkan semangat orang lain untuk menghabiskan segala tugasan dengan sempurna.
  3. Adakah anda jenis yang cepat mengalah? Apa yang anda lakukan setiap kali ada cabaran melanda? anda akan berjuang sampai menang atau mengelakkan pertempuran dan menyerah kalah? Sebaik saja anda menjadi usahawan, ribuan peluru datang dari segenap sudut untuk memaksa anda menyerah kalah. Masa tak cukup, wang tak ada, kawan perlekeh, polisi bertukar, bencana alam, barang naik dan seribu satu macam lagi masalah mahu menguji ketabahan anda.
  4. Adakah anda seorang yang berfikiran terbuka? adakah anda seorang pendengar yang baik?. Ingat! tak ada orang yang tahu semua perkara. Sehebat mana sekalipun anda, anda tetap perlu mampu mendengar cadangan, tunjuk ajar dan kritikan. Keupayaan berfikiran terbuka akan menyelamatkan seorang usahawan daripada jatuh tersungkur sambil orang bertepuk tangan membalas dendam dengan kedegilan dan berlagak pandai anda.
  5. Adakah anda mengenali diri anda? Apakah kekutan dan kelemahan yang ada pada diri anda sekarang. Adakah anda tahu semua itu dengan jelas. Mampukan anda senaraikan semua kekutan dan kelemahan dengan jujur dan menerima hakikat seadanya?. Keupayaan mengenal diri dan jujur pada diri sendiri perlu ada sebelum mampu mengenal masalah yang lain menganalisa dan membuat keputusan yang baik dalam perniagaan.
  6. Sedarkah anda dalam dunia mana anda akan masuk? ramai yang berkata dia sanggup menghadapi segala dugaan walau terpaksa merenangi lautan api. Tapi orang yang sama juga akhirnya cabut lari hanya berdepan dengan masalah tak cukup duit. Apakah anda tahu perniagaan yang anda rangkakan sesuai dengan keupayaan. Adakah anda mendapat sokongan keluarga, kawan, dan ilmu yang anda ada?. Dunia usahawan bukan mudah dan anda perlu sedar semua itu.
Jawab dengan jujur semua soalan yang saya kemukakan di atas. Selepas itu baru buat keputusan samada ada mahu berikan surat perletakan jawatan dan terjun berniaga.

Bukan tujuan untuk menakutkan, tetapi sekadar memberi ingatan bahawa dunia usahawan bukan perkara mudah. Tetapi ia bukan pula perkara mustahil dan ramai yang telah berjaya.

Asalkan anda jujur dengan diri sendiri dan membuat keputusan bukan disebabkan untuk melarikan diri daripada masalah pekerjaan yang sedang dihadapi sekarang, insyallah anda juga boleh menjadi usahawan berjaya.

Ya! saya spesis usahawan berjaya!, apa pulak selanjutnya?

Ok! anda dah tanya kesemua soalan di atas dan tidak syak lagi anda yakin punyai darah keturunan spesis usahawan berjaya.

Apakah perlu berhenti kerja sekarang dah terus menjadi usahawan atau tunggu dulu dan buat satu lagi pemeriksaan?

Seeloknya tunggulah dulu dan jawab soalan cepu emas ini:
"Nak berniaga apa?. Perniagaan apa yang sesuai dengan saya?"
Soalan mudah itu nampak memang mudah tetapi itulah satu tugas penting yang bukannya mudah perlu dijawab oleh usahawan atau bakal usahawan.

Ini bagi mengelakkan usahawan tidak buat sesuatu separuh jalan dan menyedari dia tidak berminat dan tidak sesuai dengan perniagaan tersebut.

Menyelesaikan pertanyaan pada soalan di atas memerlukan masa dan kajian. Anda perlu mencari dalam pembacaan, melihat sekeliling dan bertanya orang yang berjaya.

Anda juga boleh menyertai seminar atau kursus bagi mendapat idea dan hala tuju perniagaan yang bakal dibina.

Wednesday, June 26, 2013

Tak kisah siapa,kalau nak berniaga.

Salah satu kelebihan berniaga adalah kita boleh menentukan dengan siapa kita mahu memasarkan produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Tapi kadangkala para peniaga tidak sedar kelebihan ini dan cuba memasarkan produk atau perkhidmatan mereka pada semua orang.

Apabila sesebuah perniagaan itu cuba menjadi jaguh dengan melayan semua orang, maka perniagaan hilang fokus dan tidak dapat membina keunikannya yang tersendiri. Yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah kita akan hilang tenaga akibat keletihan melakukan kerja yang sia-sia dan tidak mendatangkan hasil yang optimum.



Ada sekali saya didatangi oleh seorang rakan yang menjalankan perniagaan dadih. Dia memasarkan dadihnya di serata tempat di Lembah Kelang terutamanya dikantin-kantin sekolah. Jumlah pengeluarannya adalah sekitar 2 ribu dadih sehari.

Dalam pertemuan itu rakan saya mengutarakan satu masalah terhadap satu prospek pelanggannya yang merupakan seorang Mak Datin. Rakan saya itu memberikan beberapa sampel dadih pada Mak Datin untuk dirasa dan ternyata Mak Datin amat suka pada dadihnya.

Mak Datin bercadang untuk memasarkan dadih tersebut pada rangkaian rakan-rakannya yang terdiri daripada kumpulan Mak-Mak Datin dan juga isteri kepada orang-orang yang penting. Cuma masalah timbul apabila Mak Datin tersebut bertanyakan air apa yang digunakan dalam proses membuat dadih itu.

Rakan saya menerangkan dia menggunakan air paip yang dimasak dan itu membuatkan Mak Datin risau samada rakan-rakannya akan suka dengan penggunaan air paip. Mak Datin mengesyorkan rakan saya menggunakan air mineral kerana ia lebih terjamin kebersihannya dan berkualiti tinggi. Kalau tidak agak sukar untuk dia mengambil dadih tersebut.

Itulah yang menjadikan rakan saya serba salah dan tidak dapat jalan penyelesaian. Kos jika menggunakan air mineral adalah tinggi dan dia tidak dapat mengekalkan harga dadih sebagai mana sekarang. Persoalannya adalah macam mana nak buat, itulah sebabnya dia datang menemui saya.

Saya bertanyakan padanya berapa ramai jumlah Mak Datin di Lembah Kelang dan dari jumlah tersebut agaknya berapa ramai yang akan membeli dadih daripadanya. Rakan saya terdiam lalu saya menjawab tak ramai jumlah Mak Datin berbanding pasaran semasa yang telah dibinannya.

Saya berpendapat adalah tidak berbaloi dia melayan permintaan Mak Datin tersebut yang mana ternyata peningkatan hasil daripada pasaran Mak Datin tidak memberangsangkan. Adalah lebih baik dia menumpukan pasaran yang dia ada sekarang yang lebih fokus pada mereka yang berpendapatan rendah dan tidak terlalu memilih dan mengada-ngada.

Ini bermakna rakan saya tak perlu melayan Mak Datin dan sekali gus masalah tersebut tidak wujud dan tidak perlu difikirkan lansung. Rakan saya bersetuju dan merasa lega kerana tidak terfikirkan apa yang saya sampaikan pada sebelum ini.

Cerita di atas adalah contoh di mana para peniaga kadangkala terlupa yang mereka perlu menetapkan siapa pasaran mereka sejak awal dan istiqamah membina pasaran tersebut. Apabila kita telah tetap dengan pasaran kita, masa yang ada boleh digunakan untuk memikirkan bagaimana membesarkan lagi pasaran tersebut dan menyediakan produk atau perkhidmatan yang paling ideal yang dapat memenuhi kehendak pasaran itu.

Bagi mereka yang terlupa, pastikan anda sedar siapa pasaran atau pelanggan yang anda mahu berniaga dan fokus terhadap pasaran itu sehingga anda berjaya.

Sokong usahawan kecil


Kuala Lumpur: Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (Minggu PKS) 2013 yang bermula semalam hingga 30 Jun ini turut mendapat penyertaan yang baik daripada pasar raya terkemuka tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, tahun ini kali kedua penganjuran Minggu PKS, dan pertama kali mendapat penyertaan daripada pasar raya di seluruh negara.

“Untuk penganjuran kali ini, kami mendapat penyertaan 408 pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara yang akan mempamerkan dan mempromosi produk PKS tempatan,” katanya.
Menurutnya, penyertaan daripada jenama besar dalam sektor peruncitan itu secara tidak langsung membuktikan sokongan diberikan kepada usahawan PKS tempatan.

“Ia juga menunjukkan produk dihasilkan PKS boleh bersaing dengan jenama luar negara yang sering menghiasi rak di pasar raya terkemuka,” katanya selepas pelancaran Minggu PKS 2013 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hamim Samuri dan Pengerusi SME Corp Datuk Mohamed Al Amin Abdul Majid.
Menurutnya, dengan tema ‘Perniagaan Kecil, Idea Besar’, Minggu PKS 2013 yang dianjurkan turut meluaskan fokus kepada usahawan PKS di luar bandar.

“Kami tidak mahu meletakkan tumpuan kepada usahawan di bandar besar saja kerana kami percaya PKS di luar bandar juga memiliki potensi yang baik.
“Kerana itu, kami turut menjalankan Minggu PKS di semua negeri dengan pelancaran diadakan di daerah selain ibu negeri bagi memberi ruang kepada masyarakat di luar bandar khususnya usahawan mendapat manfaat daripada program yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Minggu PKS 2013 yang bermula semalam hingga 30 Jun ini antara lain dianjurkan bagi memupuk kesedaran terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PKS tempatan kepada orang awam dan turut memberi peluang kepada usahawan meluaskan jaringan perniagaan melalui sesi padanan perniagaan yang diatur.

Umur kian singkat, ajal makin dekat


MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.
Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?” 
Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adaah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun. 

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.

Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak. 

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru. 

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. 
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. 

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya. 

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah. 

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting. 

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu. 

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun. 

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. 

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya. 

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian. 

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini. 

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda. 

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai. 

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja. 

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri. 

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya. 

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang. 

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah. 

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri. 

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama. 

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya. 

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain. 

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan. 

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah. 

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.

Bisnes Online beri pendapatan lumayan

DETIK  awal dan kisah permulaan bisnes emas saya bermula dengan  artikel dalam akhbar yang saya baca pada tahun 2008. Ayat yang mengatakan tentang harga emas naik empat kali ganda dalam masa 10 tahun membuatkan saya tersentap lalu membuat kajian yang lebih.

Atas dasar ingin berkongsi ilmu baru yang saya rasa “ruginya jika orang lain tidak tahu”, saya memulakan langkah menyampaikan ilmu yang saya ada sedikit demi sedikit melalui forum di internet. Bukan mudah untuk membina kepercayaan orang kepada kita secara online. Tapi saya berpegang kepada prinsip “dapat sedikit kongsi sedikit, tak perlu tunggu kaya dan berjaya baru nak kongsi."

Tidak sangka pula saya semakin dikenali apabila banyak berkongsi ilmu dan kredibiliti terbina dengan sendirinya apabila pelanggan-pelanggan saya menyatakan kepuasan mereka berurusan dengan saya. Ini kerana saya bukan menjual produk semata-mata tetapi berkongsi ilmu dengan mereka di samping memberi rundingan dan bimbingan percuma, kebanyakannya hanya secara online.

Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain."

Saya memilih syarikat emas Goldcrest Pavilion (GCP) sebagai platform untuk saya menjalankan perniagaan emas kerana GCP telah empat tahun bertapak dengan sistem yang sangat menguntungkan pengedar, bantuan modal 100% disediakan, servis yang pantas dan mesra serta pelbagai keistimewaan yang lain. Para pengedar juga  mendapat peluang belajar tentang ilmu emas dan bisnes dengan CEO GCP sendiri iaitu jutawan emas Shamsul Anuar Md Ali.

Bagaimana saya memasarkan produk emas GCP?

Saya mengamalkan empat strategi Rasulullah berniaga dalam menjalankan bisnes emas secara online iaitu:

1. Siddiq - berkata benar, jangan menipu dan sentiasa jujur kerana hanya dengan sikap ini kita akan dipercayai

2. Amanah – apabila kita amanah, kita mudah diberi peluang oleh orang lain

3. Tabligh – menyampaikan  ilmu  yang kita miliki kepada orang lain

4. Fatonah -  sentiasa berusaha meningkatkan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan dengan belajar pelbagai kemahiran  yang berkaitan dengan bersungguh-sungguh.

Ramai yang tidak percaya saya tinggal di sebuah kampung sahaja dan menjalankan bisnes internet dari rumah di samping tugas hakiki sebagai seorang guru. Bagi saya tiada apa yang mustahil selagi anda mempunyai sebuah netbook dan talian internet. Ilmu dan informasi di hujung jari dan pasaran yang luas di alam maya menyebabkan lebih mudah  untuk kita menjalankan perniagaan online. Laman sosial seperti Facebook dan blog banyak membantu saya dalam menjalankan bisnes online dan menjana pendapatan empat angka sebulan.

Saya kongsikan 10 tip atau Kunci  Kejayaan Bisnes Emas  melalui Internet:

1. Bina kredibiliti dan jual diri bukan jual produk. Apabila orang suka dengan kita, mereka akan membeli produk kita.

2. Berkongsi ilmu tanpa syarat dan ikhlaskan hati. Banyakkan memberi  dan berkongsi  tanpa jemu dan lihat sendiri hasilnya.

3. Jika ingin berkongsi ilmu atau sesuatu idea di internet, pastikan anda berkongsi dari hati, barulah ilmu itu akan sampai kepada mereka yang membaca.

4. Banyakkan bercerita pengalaman sendiri atau orang lain kerana lumrah manusia mereka suka mendengar atau membaca cerita orang lain.

5. Sentiasa mencari kelainan dan mengikuti perkembangan semasa dan keadaan, contohnya apabila gaji, saya akan banyak berkongsi tentang tip pengurusan gaji dan bagaimana memulakan simpanan emas.

6. Pelbagaikan bentuk penyampaian dalam bentuk teks, animasi, cerita santai, dialog, gambar dan video.

7. Memahami keperluan pembeli dan masalah yang dihadapi mereka membantu kita dalam menentukan apa informasi yang boleh kita kongsikan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

8. Membina hubungan dan ukhwah dengan pelanggan.

9. Meletakkan testimonial dan pengakuan dari pelanggan yang berpuas hati dengan produk dan servis kita sebagai bukti kita adalah penjual yang dipercayai dan disukai dalam urusan online.

10. Konsisten dalam bisnes yang dijalankan, jangan sekejap muncul dan sekejap hilang.

Perniagaan emas secara online semakin mendapat tempat apabila pengedar emas yang sah bagi sesuatu syarikat semakin banyak mempromosikan bisnes ini di internet sama ada melalui blog mahupun Facebook. Jarang sekali kedengaran kes penipuan melibatkan pengedar emas sesebuah syarikat, yang sering terjadi ialah penipuan yang melibatkan mereka yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat. Di sinilah terletak kelebihan seseorang yang mendaftar sebagai pengedar sesebuah syarikat.

Sejak menjadi pengedar GCP, saya berpeluang membimbing  lebih kurang 300 orang pengedar dari seluruh negara termasuk luar negara dimana 90% dari mereka tidak pernah saya jumpa!

Dan, rata-rata pelanggan saya juga berurusan dengan saya secara online dan tak pernah bersemuka, sebaliknya berkomunikasi secara online dan sesekali ada urusan yang dilakukan menerusi telefon. Kebanyakan pelanggan online ini suka berurusan dengan saya kerana saya selalu ada di alam maya, mudah dihubungi, cepat membalas mesej mereka, menawarkan harga terbaik, jaminan penghantaran, jaminan belian balik tertinggi dan rundingan percuma  di samping berpeluang menambah ilmu apabila menjadi rakan di Facebook.

Apabila ingin berjaya dalam bisnes emas secara online, perkara pertama yang harus difikirkan ialah “ilmu”, bukan modal. Ilmu adalah modal terpenting yang harus dicari dan diamalkan. Ramai yang melupakan aspek ini lalu kurang berkongsi ilmu dengan orang ramai sehingga timbul persepsi yang salah seperti:

1. Rugi beli emas sebab harga jatuh.

2. Takut kena bayar zakat, sedangkan ia menyuburkan harta.

3. Bimbang dengan emas palsu.

4. Takut terjebak dengan skim pelaburan emas.

Selepas mantap dengan ilmu, sebaiknya berkongsilah agar dapat memberi manfaatnya kepada orang lain. Anggaplah bisnes yang dilakukan sebagai salah satu jihad untuk membantu masyarakat mengubah simpanan biasa-biasa mereka selama ini kepada emas, simpanan luar biasa yang terbukti kehebatannya berkurun lamanya.

Terbaru, saya ada menulis ebook (buku alam maya)  bertajuk Belajar Ilmu Emas dalam 10 Bab: Panduan Terkini Simpanan, Pelaburan dan Bisnes Emas yang boleh dibeli melalui Facebook saya, Nor Fazilah Abd Mohd atau ke fanpage ebook @ fb “Ilmu Emas “ atau sms saya 0199708897 untuk keterangan lanjut. Ebook ini sangat lengkap dan padat dengan ilmu tentang emas lengkap dengan pakej lapan bonus beserta bimbingan eksklusif dari saya dan telah terbukti memuaskan hati mereka yang telah mendapatkannya. Tawaran menarik hanya untuk mereka yang terawal sahaja.

Jual beli emas dengan ilmu, anda pasti berjaya, insya-ALLAH.

Jika ingin mendapatkan ilmu emas di blog yang digelar sebagai “lubuk ilmu emas” oleh pembaca setia, anda hanya perlu ke blog: www.jutawangold.com

Usah risau jika anda tiada modal yang besar utk memulakan perniagaan anda.

KEJAYAAN GCP telah TERBUKTI dengan pencapaian CEMERLANG melatih lebih 4,500 usahawan emas bumiputra muslim yang mana mereka diberi.

Jerebu: Indonesia bertindak sepenuhnya

JAKARTA - Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) bagi pihak kerajaan Indonesia kini, dilaporkan melaksanakan operasi secara besar-besaran memadamkan kebakaran hutan di kepulauan Sumatera yang mencetuskan jerebu di dua negara jirannya, Malaysia dan Singapura.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, usaha memadamkan kebakaran di Riau berterusan dengan harapan asap yang mengakibatkan jerebu dapat dikurangkan di seluruh negara termasuk di negara jiran.

"Selepas seminggu masih tiada apa-apa tindakan daripada pihak berwajib, saya memutuskan untuk meningkatkan usaha mengurangkan jerebu menerusi anggota komando sebagai pengawal aktiviti yang sebelum ini lakukan oleh pentadbiran tempatan.

"BNPB juga akan mengambil alih kawalan kecemasan walaupun ada pihak-pihak tempatan yang tampil menyumbang membantu memadamkan api," katanya dipetik dari JakartaPost.

Susilo berkata, sehingga kini, wilayah Riau diisytiharkan sebagai kawasan darurat berikutan tindakan pihak tidak berwajib melakukan pembakaran tanah serta hutan secara terbuka.

Gunakan peluang terhidang.


Seseorang peniaga hendaklah bijak melihat dan memanipulasi peluang yang ada. Kebiasaannya wujud satu-satu peluang perniagaan kerana wujudnya permintaan terhadap sesuatu barangan dan perkhidmatan.


Pernahkah anda terfikir sekiranya ada tempat menjual itu dan ini bukankah lebih baik. Contohnya,pada waktu petang anda gemar makan cucur pisang bersama kopi. Namun di tempat tinggal anda tiada satu pun gerai menjual cucur pisang dan anda boleh membuat cucur pisang. Mungkin ini merupakan peluang yang terbaik.

Contohnya: anda seorang pelajar IPT dan menghadapi kesukaran membeli topup hp anda. kemungkinan anda boleh membuka bisnes menjual topup sebagai bisnes anda.

Lihatlah peluang di sekitar anda. Sekiranya anda pernah belajar atau bekerja di tempat lain contohnya luar negara atau bandar-bandar besar, lihatlah peluang-peluang yang pernah ada di sana yang boleh dikembangkan di tempat anda. Seperti nasi lemak malam di tempat saya, sebelum ini tiada pun.

Sekirnya anda berada di kawasan yang baru dibangunkan menjadi bandar perhatikan peluang yang ada di sana.Buatlah perniagaan kecil-kecilan. Kemungkinan perniagaan yang anda bina ini menjadi pendapatan sampingan yang lumayan.

Pernahkah kawasan anda mengadakan program atau acara besar-besaran mahupun pesta seperti sambutan hari kebangsaan, hari terbuka sekolah atau apa sahaja yang menyediakan peluang berniaga. Sekiranya pihak penganjur menawarkan ruang -ruang untuk berniaga cubalah memulakan perniagaan anda disana.

Anda masih kebuntuan idea untuk berniaga? Perhatikan gerai-gerai yang dibuka semasa pesta seumpama itu.Carilah gerai-gerai yang menjadi tumpuan. Kemungkinan bisnes-bisnes ini menjadi model kepada anda.

Tahukah anda aset yang paling berharga pada kita.

Tema artikel hari ini ialah apakah aset paling berharga?

Bagi diri kita yang mula untuk membuka bisnes sendiri, lihat apa yang ada di sekeliling kita. Apakah aset yang paling berharga kita ada? Apakah emas, duit atau rumah yang kita duduki sekarang mahupun kereta atau motosikal kita?

Ada yang tersenyum barangkali. Sekarang tiada apa-apa yang boleh dibanggakan.Jangan katakan rumah, duit belanja harian pun adakalanya tak lepas.

Namun sedarkah kita aset paling beharga ialah minda kita.




Idea-idea yang dijana oleh minda kita. Tidak kiralah sama ada idea itu bernas ataupan hanya angan-angan Mat Jenin. Pernahkah anda terfikir apakah bisnes anda yang bakal anda bina?

Bagaimana mencari idea bernas?

Mulakan sekarang, senaraikan 10-15  jenis bisnes yang anda terfikir tidak kira sama ada ia kecil atau besar. Teliti semula idea bisnes anda tadi dan senaraikan 5  bisnes yang boleh ada mulakan segera.

Bedasarkan senarai tersebut anda lakukan tinjauan rambang di kawasan tempat tinggal anda untuk melihat operasi bisnes ini. Pilih satu bisnes yang ada rasa paling sesuai untuk dicuba.

Saya pasti anda akan menjumpai jawapannya...... Selamat Berbisnes.

Kalau BOSS berlagak pekerja cabut lari.

Antara masalah paling besar yang dihadapi oleh sesebuah syarikat adalah mengekalkan pekerjanya yang bagus. Kehilangan seorang pekerja yang baik dan hebat merupakan satu kerugian besar kerana kebiasannya mereka hanyalah 1 dalam seratus. Jika kita tak jaga mereka dengan baik, ramai lagi syarikat lain sanggup menjaganya.

Apakah faktor utama yang dapat mengekalkan pekerja yang bagus. Kebiasannya kita sangkakan ia ada kaitan dengan wang. Tetapi sebenarnya wang bukanlah segala-galanya. Jika gaji yang diberikan memenuhi pasaran semasa, 3 faktor dibawah perlu diberikan perhatian:



  • Masa kerja yang fleksibel. Jangan terlalu rigid sangat dengan waktu kerja sehingga mencengkam kebebasan mereka.
  • Hargai pencapaian. Jangan anggap bila dia makan gaji, anda boleh layan mereka macam robot. Mereka manusia dan jika kita menghargai pencapaian mereka sudah tentu mereka juga menghargai anda.
  • Utamakan keputusan. Jangan kawal segala pergerakan dan cara mereka melaksanakan tugasan. Yang pentingnya mereka mencapai matlamat yang diberikan. Berikan mereka ruang menggunakan masa dengan optimus walaupun ia bermaksud keluar sebentar untuk ke gym atau sebagaimya.
Antara keburukan paling ketara syarikat  adalah tidak memperdulikan suasana persekitaran tempat pekerja mereka beroperasi. Kemudahan juga tidak diberikan perhatian. Para pekerja juga dikawal segenap pergerakan mereka. Ini merimaskan pekerja yang amanah dan baik.
 Kesilapan yang tidak mejejaskan matlamat pula terlalu dipertikaikan oleh majikan dan kadangkala pekerja dihukum semata-mata kerana melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh boss walaupun itu tidak ada kena mengena dengan tugasan pekerja.
Berikan layanan istimewa pada pekerja bagus anda dengan turun ke padang memberikan sokongan. Jangan berlagak macam boss angkuh yang hanya mengharapkan dirinya sahaja perlu dipuji dan dihormati sahaja.

Pakar hartanah muda kongsi tips beli rumah.



Pakar hartanah muda kongsi tips beli rumah
Faizul
APAKAH pertimbangan paling utama semasa melabur dalam hartanah bertingkat tinggi pada masa ini?

Menurut pakar muda dalam industri hartanah Malaysia, Faizul Ridzuan, tiga perkara paling utama sebelum melakukan pelaburan terbesar dalam hidup dengan membeli hartanah adalah lokasi, rekod pemaju dan butiran hartanah.

Faizul baru-baru ini berkongsi pengetahuannya di Galeri Jualan Zeva, iaitu projek pembangunan oleh Kumpulan Trinity dengan pembeli yang ingin mengetahui apa yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli rumah jenis kondominium atau pangsapuri.

Menurut Faizul, pembangunan bercampur adalah antara yang paling laris ketika ini.

"Reka bentuk moden dan kemudahan yang pelbagai menarik pembeli generasi Y dan hartanah seperti ini juga mempunyai nilai jualan semula yang lebih tinggi, selain mudah disewakan.

"Apabila membeli hartanah untuk pelaburan, lebih baik untuk membeli unit paling teruk dalam pembangunan yang baik daripada membeli unit paling baik dalam projek yang teruk. Nilai hartanah bergantung kepada faktor sama ada hartanah itu boleh dijual dengan keuntungan atau disewakan pada kadar yang baik," menurut Faizul yang memiliki 23 hartanah sebelum mencecah umur 30 tahun.

Faizul turut menggalakkan pembeli mengambil peluang melalui tawaran istimewa dan diskaun yang ditawarkan pemaju hartanah terutama semasa tempoh pelancaran.

Menurutnya, harga rumah akan naik mendadak selepas sahaja ia siap dibina.

Faizul berkata, berdasarkan pengalamannya sendiri, beliau membeli pangsapuri berharga RM236,000 pada 2009 dan kemudian dijual pada RM456,000 sebaik sahaja rumah itu siap dibina.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Trinity Sdn Bhd Ng Ching Yee berkata, sesi perkongsian pengetahuan yang dianjurkan syarikat itu dapat membantu pembeli rumah pertama untuk memahami manfaat dan kepentingan melabur dalam hartanah yang betul.

Kecacatan bukan penghalang untuk berjaya.


Petikan ini menceritakan tentang seorang usahawan dari kalangan OKU. Terfikir sejenak mengatahui kegigihannya mencipta nama sebagai salah seorang usahawan yang berjaya di MALAYSIA. Sesuatu pencapaian yang patut semua rakyat MALAYSIA banggakan. Artikel mengenai Tengku Arman (seorang OKU) ini saya ambil dari salah sebuah artikel yang dipaparkan di dalam portal usahawan di mana ianya disediakan oleh Tuan Azam Johan dan Eo Pee See.. Mari kita kongsikan bersama pengalaman ini...
Golongan orang kurang upaya (OKU) kini bukan sahaja mampu menonjolkan kejayaan mereka sebagai penjawat awam malahan dalam bidang keusahawanan. 

Golongan ini dilihat begitu gigih serta memiliki kesabaran yang tinggi apabila menceburi satu-satu bidang, seolah-olah kecacatan bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan. 

Bagi Tengku Arman Harris Tengku Ismail, 36, yang cacat pendengaran, kegigihan dan ketabahannya menjadikan beliau antara usahawan OKU yang berjaya dalam perusahaan membuat batik sutera di Terengganu.

Menceritakan pengalaman sebelum menceburi perusahan berkenaan sejak 10 tahun lepas, beliau mula bekerja sebagai pengimpal di sebuah bengkel kenderaan di Kuala Lumpur pada 1990 selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam, Selangor. 

Setahun selepas bekerja di ibu kota, beliau yang merupakan anak sulung daripada enam beradik terpaksa pulang ke Terengganu untuk mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga selepas kematian bapanya, yang terkorban dalam nahas jalan raya.

TIMBA ILMU

Mengimbas pengalamannya dalam industri pembuatan batik sutera, Tengku Arman mula bekerja di kilang Romi Batik di Chendering di sini, pada 1991 serta sebuah syarikat batik di Batu Burok, selama beberapa tahun sebelum membuka syarikatnya sendiri. 

Menurut ibunya, Wan Zaitun Wan Mansur, 59, semasa bekerja di dua tempat berkenaan, Tengku Arman mempelajari pelbagai cara pembuatan batik sehingga 1996 sebelum membuka sendiri syarikatnya iaitu Arman Batik di rumahnya di Kampung Tebauk di sini. 

Zaiton, yang merupakan jurubahasa isyarat anaknya, berkata dengan keazaman untuk berjaya dalam industri tersebut, Tengku Arman mendirikan sebuah bangsal berhampiran rumahnya, dengan mengusahakan pembuatan batik secara kecil-kecilan. Berbekalkan bakat dan kebolehan anaknya, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000 kepada Tengku Arman untuk mengembangkan perusahaannya.

Beliau berkata, setelah perusahaan anaknya itu menampakkan kejayaan, Tengku Arman memohon pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan perusahaannya bertambah maju sehingga mampu membayar balik pinjaman dalam tempoh yang singkat. 

DUA KEDAI BATIK

"Saya rasa puas apabila Tengku Arman dapat menyelesaikan pinjaman Mara dalam tempoh yang singkat kerana ia memberi keyakinan kepada Mara untuk memberi pinjaman kepada golongan sepertinya pada masa akan datang. 

"Ini kerana, agak sukar bagi golongan OKU untuk menceburi bidang perniagaan kerana terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap mereka," kata Wan Zaitun. 

Tengku Arman berkata selain dibantu isterinya, Azizah Md Yassin, 32, yang juga cacat pendengaran, beliau mempunyai tiga pekerja bagi membantunya mencating kain-kain batik. 

Atas usaha gigihnya, Tengku Arman kini boleh berbangga kerana memiliki dua buah kedai batik sutera iaitu "Anas Butik" di Subang Jaya, yang diurus oleh diknya. Katanya, beliau menghasilkan kain-kain batik sutera dengan dua kaedah iaitu melalui blok serta mencating dan ia dijual antara RM200 dan RM400 sepasang.

TOKOH OKU

"Gerai musim perayaan, saya akan mengambil ruang di Subang Parade untuk menjual kain-kain batik sutera saya dan alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik," katanya. 

Tengku Arman yang mendirikan rumahtangga dengan Azizah sejak tiga tahun lepas dan belum dikurniakan cahaya mata, berkata beliau sering berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk menghantar kain-kain batik sutera yang dihasilkannya. 

Katanya, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan bercita-cita untuk membuka sebuah kedai di sini, tidak lama lagi. 

Kesungguhan Tengku Arman dalam industri itu mendapat pengiktirafan dan beliau merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu (PKOCPT) yang pertama sejak ia ditubuhkan pada 2001. 

PKOCPT mencapai kegemilangan di bawah kepimpinan Tengku Arman apabila diiktiraf sebagai persatuan OKU terbaik Terengganu sempena Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri anjuran JKM pada 2003. 

Kebolehan dan pencapaian Tengku Arman itu juga telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi pada 2007 dan Tokoh OKU Keseluruhan pada 2005.

Petikan:-- BERNAMA

Tuesday, June 25, 2013

PEKERJA HARUS DI TENDANG JAUH-JAUH.

Jika anda seorang usahawan atau seorang boss tentu pernah terlintas dalam kepala soalan bagaimana dan di mana aku boleh dapatkan teknik motivasi yang berkesan.

Soalan sebegitu membawa maksud anda sedang hadapi masalah dengan pekerja atau orang bawahan yang menimbulkan kacau bilau dan membantut perkembangan bisnes atau projek yang sedang anda jalankan.

Sebelum anda mulakan usaha mencari teknik atau guru untuk mengajar anda tentang cara memotivasi orang dengan betul dan baik, elok lihat terlebih dulu pada pekerja atau orang bawahan yang anda ada.

Besar kemungkinan anda punyai pekerja yang tidak berguna untuk syarikat atau projek anda dan perlu diterajang keluar terlebih dulu.


Nota peringatan: "terajang keluar membawa maksud diberhentikan kerja dan tidak membawa maksud aktiviti fizikal dengan menggunakan kaki".

Hanya ada 4 kategori pekerja atau orang bawahan:


  1. Berkemahiran tinggi dan sikap amat cemerlang
  2. Kerkemahiran tinggi dan bersikap buruk teramat
  3. Berkemahiran rendah dan sikap cemerlang
  4. Berkemahiran rendah dan bersikap buruk teramat
Kumpulan yang perlu diterajang
Dalam ke empat-empat jenis yang disebutkan di atas, orang yang anda perlu terajang keluar atau berikan surat amaran keras untuk berubah adalah mereka yang berada di dalam kategori yang ke-4.
Jika anda yang sedang membaca ini merupakan seorang pekerja yang ada boss atau ada taukeh diatasnya. Segera buat analisa samada anda berada di dalam kategori ke-4 yang saya sebutkan di atas.
Jika betul, anda dalam keadaan merbahaya kerana sudahlah tidak punya kemahiran atau keupayaan yang baik, malah bersikap negatif, tak dengar cakap, degil dan seribu satu macam perangai buruk lagi.
Jika anda jadi boss, anda sendiri akan menerajang orang seperti itu keluar dari syarikat jika tidak mahu terus menerus membayar gaji buta padanya.
Belai dengan baik kumpulan ini
Matlamat taukeh atau boss adalah untuk meletakkan semua pekerjanya berada di dalam kategori pertama. Syarikat yang punyai pekerja dalam kategori tersebut paling ramai akan menyaksikan peningkatan memuncak dan boss tidak perlu membuang masa mengambil kursus motivasi orang.
Apa yang boss perlu lakukan adalah bina dan bantu sebaik mungkin pekerja hebat anda tersebut dan berikan mereka segala peluang yang ada untuk meningkatkan kedudukan mereka. Jika anda tidak jaga mereka dengan baik, ramai orang diluar bersedia untuk mengambil kumpulan ini.
Periksa kumpulan ke-3
Bagi mereka yang berada di dalam kategori ke-3, berkemungkinan anda salah letak mereka bukan pada tempatnya. Sila periksa jika anda salah guna kemahiran yang dia ada dan ubah. Sikapnya yang cemerlang akan sentiasa membantu dirinya sendiri untuk maju. Jika dia perlukan latihan, jangan kemut duit untuk memberikannya.
Berhati-hati dengan kumpulan ke-2
Bagi mereka dalam kumpulan kedua, kadangkala mereka adalah jenis yang perasan bagus dan merasakan diri sentiasa hebat dan mereka memnag hebat cuma tidak ada kerjasama dan sukar diuruskan. Anda boleh asingkan jenis ini pada kerja tidak berkumpulan atau hantar ke summer camp untuk pulihkan perangai buruk tersebut.
Jika perangainya tidak berbaloi, elok nasihatkan dia cari kerja lain. Kebiasannya pemergian orang dari kumpulan kedua ini akan banyak melegakan mereka yang berada dikumpulan pertama. Kerana selama ini mereka sentiasa menjadi mangsa....
Peringatan!!!
Sekali lagi, semak dan pastikan agar anda tidak berada di dalam kumpulan ke-4, atau anda akan diterajang keluar....

SUTERA


Sutera merupakan gentian protein semulajadi yang sesetengah jenisnya boleh ditenun menjaditekstil. Jenis sutera yang paling dikenali adalah sutera yang diperoleh daripada kepompongyang dihasilkan larva ulat sutera kertau (Bombyx mori) yang diternak (serikultur). Rupa berkilauan yang menjadi punca tarikan sutera didatangkan olrh struktur seakan-akan prismasegitiga dalam gentian yang membolehkan kain sutera membias cahaya yang menembusinya di pelbagai sudut.
"Sutera liar" dihasilkan oleh beluncas selain ulat sutera kertau dan tidak boleh diternak. Pelbagai sutera liar dikenali dan digunakan di ChinaAsia Selatan, dan Eropah sejak zaman silam, cuma penghasilannya sentiasa jauh lebih kecil berbanding sutera ternakan. Sutera liar berbeza dari sutera ternakan dari segi warna dan tekstur, dan kepompong-kepompong liar yang dikumpul selalunya sudah dirosakkan oleh rama-rama yang keluar sebelum dikumpuk, maka benang sutera yang membentuk kepompong itu sudah terputus menjadi pendek. Ulat sutera ternakan pula dibunuh dengan dicelup ke dalam air mendidih sebelum keluarnya rama-rama dewasa, atau dicucuk dengan jarum, membolehkan seluruh kepompong terungkai menjadi sehelai benang yang tak terputus. Ini membolehkan sutera ditenun menjadi kain yang lebih kuat. Sutera liar pula selalunya lebih sukar dicelup warna berbanding sutera ternakan.
Adanya bukti sejarah yang menunjukkan bahawa sutera liar sedang diusahakan secara kecil-kecilan di kawasan Mediterranean dan Timur Tengah ketika sutera ternakan yang lebih kuat mula diimport dari China(Hill 2003, Appendix C). Di Terengganu, seawal 1764 ulat sutera generasi kedua diimport untuk penghasilan benang sutera. [1]
Sutera juga dihasilkan oleh beberapa jenis serangga lain, namun cuma jenis sutera larva rama-rama yang digunakan bagi tujuan pengilangan tekstil. Pernah juga dijalankan kajian terhadap sutera-sutera lain yang menampakkan kelainan dari aspek molekul. Sutera dihasilkan terutamanya oleh larva serangga yang bermetamorfosis lengkap, tetapi juga dihasilkan oleh beberapa serangga dewasa seperti Embioptera. Penghasilan sutera juga kerap diperhati khususnya pada serangga order Hymenoptera (lebahtebuan, dan semut), dan adakalanya digunakan untuk membina sarang. Jenis-jenis artropod yang lain juga menghasilkan sutera, terutamanya araknid seperti labah-labah.

JENIS KAIN SUTERA.


Kain benang sutera yang telah wujud di Negara China sejak tiga milinium sebelum Masihi lagi, kini telah pun berada di seluruh pelusuk dunia. Tidak terkecuali Malaysia, terutamanya Terengganu yang terkenal dengan pembuatan halus batik-batik suteranya.

Sutera sebenarnya ialah gentian protein semulajadi yang kemudiannya ditenun menjadi tekstil. Hasil ujikaji dan penemuan-penemuan terbaru telah membawakan kepada kita pelbagai jenis fabrik sutera pada hari ini.

Antara fabrik Batik Sutera:

~ Kain Sutera Jacquard

Antara jenis sutera yang popular. Sememangnya terkenal dengan kualiti terbaik di dalam industri batik sutera. Menjadi pilihan ramai kerana kainnya yang lembut, sejuk dan selesa dipakai dan kainnya tidak mudah pecah apabila digosok atau dibasuh. Disamping itu harganya juga berpatutan dan mampu milik.
Ditambah pula dengan hasil kerja tangan pencanting batik yang berkemahiran tinggi, maka terhasillah koleksi Sutera Jacquard yang hebat untuk anda!

~ Kain Sutera Crepe

Juga antara yang popular. Kainnya agak nipis tetapi tidaklah senipis chiffon. Bergantung kepada pemakai samada hendak memasang alas baju (lining) atau tidak. Kebiasaannya tidak perlu, memandangkan kainnya yang tidaklah terlalu jarang.
Jenis kain ini sangat lembut dan sejuk dan semestinya juga amat selesa dipakai.

~ Kain Sutera Satin

Antara koleksi kain sutera terbaik. Memiliki kualiti sutera yang sangat tinggi dan amat sedap dipakai. Kain jenis ini nipis, lembut dan halus buatannya justeru itu harganya pun agak tinggi berbanding yang lain. Walau bagaimanapun, membeli sutera ibarat ‘alah membeli menang memakai’.

~ Kain Sutera Jacquard-Chiffon

Rekaan terkini di dalam industri batik sutera. Namun begitu kain chiffon nipis maka perlulah dibuat alas baju (lining).
Biasanya gabungan kain ini dijadikan dalam bentuk 2 meter sutera jacquard yang selalunya dijadikan kain dan 2 meter lagi dari jenis chiffon untuk baju.
WALAU APA JENIS KAIN SEKALIPUN, JAMINAN HANYA YANG TERBAIK DARI BATIK SUTERA CANTIK UNTUK SEMUA.

Batik tiruan jejaskan industri batik asli.


Lambakan batik tiruan dari beberapa negara luar mula menampakkan kesan kepada pengusaha batik asli di negeri ini yang mendakwa pendapatan mereka semakin terjejas.

Harga yang jauh lebih murah selain kelihatan hampir sama dengan batik asli menyebabkan ramai pengguna memilih batik tiruan, manakala bagi yang jahil seni batik pula terpedaya menganggap batik tiruan sebagai produk asli.

 "Saya sedih dengan keadaan ini kerana ia akhirnya merosakkan industri batik yang menjadi ikon kepada negeri Terengganu dan sebolehnya kami mahu memelihara batik negeri ini," kata seorang pengusaha Wan Ruzima Wan Abdullah kepada Bernama hari ini.

Katanya persaingan semakin dirasai sejak setahun lalu apabila ramai pelanggan datang ke premisnya bertanyakan batik harga murah dan berlalu pergi apabila dimaklumkan harga produk asli.

"Batik asli paling murah harganya RM80 dan boleh mencecah RM450, manakala batik tiruan harganya jauh lebih rendah. Lebih buruk lagi apabila pada pandangan mata kasar batik tiruan itu kelihatan sama dengan produk asli," katanya.   

Beliau menjelaskan batik tiruan dapat dijual pada harga murah kerana diperbuat daripada kain jenis poliester selain coraknya dicetak menggunakan mesin, sedangkan batik asli menggunakan kain bermutu tinggi dan dilukis tangan.

Wan Ruzima, 44, juga mendakwa lambakan batik tiruan terutama dari China dan Indonesia itu dilakukan segelintir peniaga tempatan yang mahu mengambil kesempatan daripada imej Terengganu sebagai antara pengeluar batik terbaik.

Seorang lagi pengusaha batik, Wan Noordiran Wan Long, 44, berkata mereka kini hanya bergantung kepada pelancong sebagai pelanggan terutama ketika cuti sekolah.

"Harga batik bergantung kepada jenis kain dan bahan asas yang digunakan, bagi batik asli kami menggunakan kain putih yang lebih berkualiti seperti kain kapas dan juga sutera yang diimport dari luar.

"Kami sebagai pengusaha batik sebolehnya mahu menjaga material batik yang dihasilkan dan tidak mahu pelanggan terus tertipu dengan batik tiruan," katanya.   
Beliau juga mendakwa ada agensi kerajaan yang membatalkan hasrat menempah batik asli dan bertukar kepada batik tiruan.

"Jika boleh kami meminta pihak kerajaan negeri dapat melihat dan membantu para pengusaha batik bagi memelihara seni warisan ini," katanya.

Bagi membezakan batik asli dan tiruan, Persatuan Pengusaha-pengusaha Batik Terengganu merancang meletakkan logo pada setiap produk asli dan sedang menunggu kelulusan Yayasan Pembangunan Usahawan untuk berbuat demikian.